TOPIK UTAMA (LIHAT DI SINI)

SOROTAN KEMERDEKAAN

Persidangan Malaya Merdeka di London Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Banda Hilir, Melak...

HASIL PEMBELAJARAN

1. Menyatakan kronologi proses-proses kemerdekaan Tanah Melayu.
2. Menyatakan tokoh-tokoh yang terlibat dalam proses-proses untuk mencapai kemerdekaan.
3. Menyatakan pengajaran daripada peristiwa proses-proses kemerdekaan Tanah Melayu.

Penetapan Tarikh Merdeka Pada 31 Ogos 1957

Penetapan tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 ditentukan selepas Tunku Abdul Rahman Putra, Haji Sulaiman Palestin, Haji Ahmad Badawi, dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan Sheikh Abdullah Fahim, Ulama besar dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Menurut Sheikh Abdullah Fahim, sekiranya Inggeris tidak memberikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, maka tarikh lain yang bersesuian adalah pada 31 Ogos 1962. Tarikh 31 Ogos 1957 dalam bahasa Arab ialah 'Am Khir Atana' yang bermaksud 'Tahun Baik Datang Kepada Kita'. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

                                                            Sheikh Abdullah Fahim


Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. Pada upacara bersejarah ini wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan 'MERDEKA' sebanyak 7 kali dan di sambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan 'Negaraku'. Sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

YTM Tunku Abdul Rahman Putra Melaungkan 'Merdeka'


 Bendera Malaysia di naikkan pada pagi 31.Ogos.1957





Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor

Pada malam 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor, dibanjiri oleh ribuan rakyat yang datang dari seluruh pelosok tanah air untuk menyaksikan detik bersejarah negara. Pada jam 11.58 malam, kereta yang dinaiki oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra dengan diiringi oleh 30 buah motorsikal yang ditunggang oleh Pemuda Perikatan tiba di perkarangan padang. Lampu di kawasan tersebut kemudiaanya dipadamkan dan dinyalakan semula tepat jam 12 malam. Serentak dengan itu, bendera Union Jack diturunkan sebagai simbolik berakhirnya pemerintahan British di Tanah Melayu dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Bendera ini dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu Kebangsaan 'Negaraku' yang diperdengarkan buat pertama kalinya dan diikuti dengan laungan 'Merdeka' sebanyak 7 kali.



Bendera Union Jack Diturunkan di Melaka

Pada 30 Ogos 1957, tepat jam 6.30 petang bertempat di Padang Banda Hilir, Melaka telah berlangsung upacara menurunkan bendera Union Jack. Penurunan bendera yang telah dilakukan lebih awal daripada tempoh berakhirnya pemerintahan British di Tanah Melayu ini menandakan berakhirnya pentadbiran British di Melaka selama 133 tahun. Bendera ini diturunkan oleh dua orang anggota dari kapal perang kecil, H.M.S. Saint Bride's Bay dengan diiringi oleh tiupan serunai. Bendera Union Jack ini kemudiannya diserahkan kepada Resident Commissioner, Tuan H.G. Hammett yang terdahulu daripada itu telah menerima tabik hormat daripada pasukan pancaragam batalion pertama Rhodesian Rifles. Upacara bersejarah yang menyaksikan Melaka dan seluruh Persekutuan Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah ini telah disaksikan oleh ribuan orang ramai yang membanjiri Padang Banda Hilir, Melaka. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016


Tunku Abdul Rahman Dikurniakan Gelaran Bapa Kemerdekaan

YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dianugerahkan dengan gelaran 'Bapa Kemerdekaan Tanah Air' pada 29 Ogos 1957. Penganugerahan gelaran ini dipersetujui hasil daripada Persidangan Agong UMNO yang berlangsung pada 29 hingga 30 Jun 1957. Pengurniaan gelaran ini secara rasmi telah diadakan pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor. Anugerah gelaran ini merupakan perhargaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra sebagai mengenang jasa perjuangan Tunku dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan British.