TOPIK UTAMA (LIHAT DI SINI)

SOROTAN KEMERDEKAAN

Persidangan Malaya Merdeka di London Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Banda Hilir, Melak...

Penetapan Tarikh Merdeka Pada 31 Ogos 1957

Penetapan tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 ditentukan selepas Tunku Abdul Rahman Putra, Haji Sulaiman Palestin, Haji Ahmad Badawi, dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan Sheikh Abdullah Fahim, Ulama besar dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Menurut Sheikh Abdullah Fahim, sekiranya Inggeris tidak memberikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, maka tarikh lain yang bersesuian adalah pada 31 Ogos 1962. Tarikh 31 Ogos 1957 dalam bahasa Arab ialah 'Am Khir Atana' yang bermaksud 'Tahun Baik Datang Kepada Kita'. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

                                                            Sheikh Abdullah Fahim


Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. Pada upacara bersejarah ini wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan 'MERDEKA' sebanyak 7 kali dan di sambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan 'Negaraku'. Sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

YTM Tunku Abdul Rahman Putra Melaungkan 'Merdeka'


 Bendera Malaysia di naikkan pada pagi 31.Ogos.1957





Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor

Pada malam 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor, dibanjiri oleh ribuan rakyat yang datang dari seluruh pelosok tanah air untuk menyaksikan detik bersejarah negara. Pada jam 11.58 malam, kereta yang dinaiki oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra dengan diiringi oleh 30 buah motorsikal yang ditunggang oleh Pemuda Perikatan tiba di perkarangan padang. Lampu di kawasan tersebut kemudiaanya dipadamkan dan dinyalakan semula tepat jam 12 malam. Serentak dengan itu, bendera Union Jack diturunkan sebagai simbolik berakhirnya pemerintahan British di Tanah Melayu dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Bendera ini dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu Kebangsaan 'Negaraku' yang diperdengarkan buat pertama kalinya dan diikuti dengan laungan 'Merdeka' sebanyak 7 kali.



Bendera Union Jack Diturunkan di Melaka

Pada 30 Ogos 1957, tepat jam 6.30 petang bertempat di Padang Banda Hilir, Melaka telah berlangsung upacara menurunkan bendera Union Jack. Penurunan bendera yang telah dilakukan lebih awal daripada tempoh berakhirnya pemerintahan British di Tanah Melayu ini menandakan berakhirnya pentadbiran British di Melaka selama 133 tahun. Bendera ini diturunkan oleh dua orang anggota dari kapal perang kecil, H.M.S. Saint Bride's Bay dengan diiringi oleh tiupan serunai. Bendera Union Jack ini kemudiannya diserahkan kepada Resident Commissioner, Tuan H.G. Hammett yang terdahulu daripada itu telah menerima tabik hormat daripada pasukan pancaragam batalion pertama Rhodesian Rifles. Upacara bersejarah yang menyaksikan Melaka dan seluruh Persekutuan Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah ini telah disaksikan oleh ribuan orang ramai yang membanjiri Padang Banda Hilir, Melaka. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016


Tunku Abdul Rahman Dikurniakan Gelaran Bapa Kemerdekaan

YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dianugerahkan dengan gelaran 'Bapa Kemerdekaan Tanah Air' pada 29 Ogos 1957. Penganugerahan gelaran ini dipersetujui hasil daripada Persidangan Agong UMNO yang berlangsung pada 29 hingga 30 Jun 1957. Pengurniaan gelaran ini secara rasmi telah diadakan pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor. Anugerah gelaran ini merupakan perhargaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra sebagai mengenang jasa perjuangan Tunku dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan British.




Pengumuman Jemaah Kabinet Yang Pertama Selepas Kemerdekaan

Pada 28 Ogos 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengumumkan anggota jemaah menteri yang akan menduduki Kabinet Perikatan pertama Persekutuan Tanah Melayu Merdeka dalam satu persidangan akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur. Anggota Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet baru ini ialah Dato'  Abdul Razak bin Hussein (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan); Kolenel Sir Henry Hau Shik Lee (Menteri Kewangan); Encik Sulaiman bin Dato; Abdul Rahman (Menteri Dalam Negeri dan Keadilan; Encik Tan Siew Sin (Menteri Perniagaan dan Perusahaan); Encik V.T. Sambanthan (Menteri Kesihatan); Encik Mohamed Khir Johari (Menteri Pelajaran); Encik Ong Yoke Lin (Menteri  Buruh dan Kebajikan Masyarakat); Encik Abdul Rahman bin Hj. Taib (Menteri Pengangkutan); Encik Bahaman Samsudin (Menteri Hasil-hasil Bumi); Encik Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian); Encik Sardon Haji Jubir (Menteri Kerja, Pos dan Tekekom), dan Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, Menteri Mutlak (Tidak Berjawatan) dan Wakil ke Bangsa-bangsa Bersatu serta Duta ke Washington. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016.

Rang Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan

Pada 15 Ogos 1957, Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 195 telah diluluskan dengan sebulat suara oleh Majlis Mesyurat Undangan Federal yang memberikan taraf Kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Usul Meminta supaya Rang Undang-undang ini diluluskan telah dikemukakan oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra dan disokong oleh Encik Shamsuddin bin Naim, Menteri Besar Negeri Sembilan. Dengan lulusnya Rang Undang-undang ini bererti mulai 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pulau Pinang dan Melaka akan menjadi sebuah Persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan daripada itu, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Merdeka mula berkuatkuasa pada 31 Ogos 1957. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016


Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Di Tandatangani

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara Raja-raja Melayu dengan Sir Donald MacGillivary, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak Queen Elizabeth II pada 5 Ogos 1957. Upacara bersejarah yang berlangsung di King's House, Kuala Lumpur ini menyaksikan seramai 15 orang penandatangan utama yang terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, 8 orang Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan 5 orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (Selain daripada Yang di-Pertuan Besar) serta saksi-saksi kepada penandatangan telah menandatangani perjanjian ini. Menurut artikel 3 perjanjian ini, menyatakan bahawa mulai 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat akan ditubuhkan menjadi satu Persekutuan Melayu baru yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa Inggeris ialah The Federation of Malaya. Perjanjian ini mula berkuatkuasa ke seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 apabila Duke of Gloucester dengan rasminya menggugurkan kuasa dan wibawa penjajah British. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016


Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu

Upacara Pemilihan Lagu Kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang Merdeka telah diadakan pada 5 Ogos 1957 bertempat di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur. Pemilihan ini dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Lagu Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Persekutuan Tanah Melayu. Lagu 'Terang Bulan' lagu kebangsaan negeri Perak dipilih sebagai lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu kerana mempunyai unsur-unsur kemelayuan. Keputusan pemilihan ini kemudiannya dikemukan untuk diperkenankan oleh Majlis Raja-raja Melayu. Lagu Kebangsaan buat pertama kalinya diperdengarkan kepada khalayak ramai pada malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.Sumber: Akrib Negara 2016.






Lagu Negaraku

Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Pertama


Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Merdeka telah diadakan pada 3 Ogos 1957 dalam satu Persidangan Khas Raja-raja Melayu di Dewan Mesyuarat Majlis Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan khas dan bersejarah ini dipengerusikan oleh Sultan Kedah dan dihadiri oleh semua Raja-raja dan Sultan kecuali Sultan Johor yang berada di Eropah dan diwakili oleh Tengku Mahkota. Persidangan bersejarah ini menyaksikan buat pertama kalinya pemilihan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diadakan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang akan merdeka. Pemilihan ini dilakukan mengikut Bahagian 4, Artikel 32, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tunku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dipilih sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu Merdeka, manakala Tunku Sir Hishamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaudin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

Rombongan Kemerdekaan Pulang Dari London

Pada 3 Jun 1957, satu perhimpunan menyambut ketibaan Rombongan Kemerdekaan ke London yang merundingkan hal berkaitan dengan Rangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan di LapanganTerbang Tentera Udara, Sungai Besi,Kuala Lumpur. Lebih dua ribu orang telah berkumpul bagi menyambut kepulangan seramai 7 orang anggota rombongan yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Anggota rombongan terdiri daripada 3 orang wakil pihak kerajaan dan tiga wakil dari Raja-raja Melayu. Antara yang turut serta dalam rundingan yang berlangsung selama 8 hari di Pejabat Tanah Jajahan Inggeri di London ini ialah Encik Ong Yoke Lin, Encik V.T Sambathan, En Mohamed Khir Johari dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,Tuan Haji Mustapha Al Bakri. Hasil Rundingan yang diadakan ini satu persetujuaan telah dicapai dan membawa kepada pembentukan Perlembagaan Tanah Melayu 1957.Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

Suruhanjaya Perlembagaan REID

Sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan mengesyorkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya Reid dipengerusikan oleh Lord William Reid (Hakim Mahkamah Rayuan England) dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mac Kell (bekas Gebenor Jeneral Australia), Tuan B.S. Malik (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India) dan Tuan Abdul Hmid (Hakim Mahkamah Pakistan). Suruhanjaya ini telah mengadakan sebanyak 118 persidangan dan menerima 131 memorandum daripada pelbagai lapisan masyarakat dan organisasi untuk dikaji dari bulan Jun hingga Oktober 1956. Antara perkara penting yang dibincangkan oleh Suruhanjaya ini adalah pembentukan sebuah Kerajaan Pusat, kuata autonomi negeri dalam bidang tertentu, kedudukan istimewa Raja-raja Melayu, pelantikan sebuah Ketua Negara berpelembagaan dan pengekalan hak istimewa orang-orang Melayu. Drag pelembagaan dan laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid diterima dengan pindaan dan diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada bulan Julai 1957.Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Banda Hilir, Melaka

Pada 20 Februari 1956, Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diumumkan di Padang Banda Hilir, Melaka. Pada detik bersejarah ini YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang juga merupakan Yang Dipertua Agong Umno mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957. Serentak dengan pengumuman kemerdekaan itu pekikan 'Merdeka' bergemuruh di angkasa raya Padang Banda Hilir yang dibanjiri oleh lebih daripada 100,000 orang yang datang dari seluruh pelosok Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman Kemerdekaan ini dibuat sejurus selepas rombongan rundingan kemerdekaan di London. Kepulangan Rombongan Kemerdekaan ini disambut dengan meriah. Rombongan ini turut diarak dengan diiringi sepasukan pemuda bermotosikal dan berpuluh-puluh buah kereta dari Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka ke Padang Banda Hilir,Melaka.Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London. Perjanjian ini ditandatangani antara YTM TUnku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutaan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British. Mengikut perjanjian ini, kemerdekaan bagi persekutuan Tanah Melayu akan diisyitiharkan pada 31 Ogos 1957. Antara perkara lain yang tercatat dalam Perjanjian Kemerdekaan ini adalah perubahan berkaitan dengan kementerian dan jabatan bagi Persekutuan Tanah Melayu serta pemansuhan jawatan Penasihat British. Wakil dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang turut hadir sama pada upacara ini ialah Dato' Abdul Razak Hussien, Dr. Ismail Abdul Rahman, Encik T.H.Tan, Encik Abdul Kadir Shamsuddin, Kolonel H.S. Lee dan wakil dar-wakil daripada Raja-raja Melayu iaitu Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (wakil Sultan Perak). Dato' Nik Ahmad Kamil (wakil Sultan Kelantan) dll. Manakala perwakilan daripada Kerajaan British yang turut sama hadir adalah Mr. John Hore, Menteri Negara; Mr. Donald MacGillivary dll. Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

Persidangan Malaya Merdeka Di London


Pada 18 Januari 1956, bermulanya Persidangan Meja Bulat antara wakil-wakil kerajaan Perikatan UMNO-MCA-MIC dan wakil-wakil Raja-raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Deligasi menuntuk kemerdekaan ini diketuai oleh Ketua Menteri YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Encik T.H.Tan dan Encik Bahaman Shamsudin selaku Setiausaha Bersama, manakala empat wakil bagi Raja-raja Melayu iaitu Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato' Mohd. Seth Mohd Said. Persidangan yang berlangsung selama tiga minggu ini merunding beberapa perkara berkaitan dengan kemerdekaan Tanah Melayu, hal-hal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal-ehwal luar negeri serta penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan bagi mengkaji semula perlembangaan terutamanya mengenai kedudukan istimewa Raja-raja Melayu yang perlu dikekalkan. Misi rombongan penuntut kemerdekaan ini telah berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan British untuk memberi kemerdekan kepada Tanah Melayu.

Sumber: Arkib Negara Malaysia 2016

SOROTAN KEMERDEKAAN

Persidangan Malaya Merdeka di London

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Banda Hilir, Melaka

Suruhanjaya Perlembagaan REID

Rombongan Kemerdekaan Pulang Dari London

Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Pertama

Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ditandangani

Rang Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu Diluluskan

Pengumuman Jemaah Kabinet Yang Pertama Selepas Merdeka

Tunku Abdul Rahman Dikurniakan Gelaran Bapa Kemerdekaan

Bendera Union Jack Diturunkan Di Melaka

Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor

Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu

Penetapan Tarikh Kemerdekaan Pada 31 Ogos 1957